Thursday 26 October 2017

TAJUK PANAS SEJARAH 2 SPM 2017 "PEMBENTUKAN MALAYSIA (Bhg II)"


REAKSI TERHADAP PEMBENTUKAN MALAYSIA 


SKOP KAJIAN

·         Reaksi dalam negeri
·         Reaksi luar negeri
·         Nilai dan Iktibar


REAKSI DALAM NEGERI

(a)    Jelaskan reaksi masyarakat Persekutuan Tanah Melayu terhadap cadangan       pembentukan Malaysia ?
         (Ruj : Sejarah KBSM Tingkatan Empat ms. 141)
               
·         Kebanyakan parti politik di Tanah Melayu menyokong pembentukan Malaysia.
·         Mereka menganggap pembentukan Malaysia dapat membantu negeri anggota yang belum membangun.
·         Pengalaman Persekutuan Tanah Melayu sebagai negara merdeka boleh digunakan untuk memajukan Malaysia.
·         Walau bagaimanapun mereka berbeza pendapat dari segi cara pelaksanaan ke arah penubuhan persekutuan Malaysia.
·         Parti Islam se- Tanah Melayu (PAS) meminta idea penubuhan ini dirundingkan terlebih dahulu dengan penduduk Tanah Melayu.
·         UMNO tidak bersetuju Singapura menyertai gagasan Malaysia.


(b)    Jelaskan reaksi masyarakat di Singapura terhadap cadangan pembentukan Malaysia ?
         (Ruj : Sejarah KBSM Tingkatan Empat ms. 141)

·         Lee Kuan Yew menyokong penggabungan Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu kerana beliau bimbang dengan pengaruh parti Barisan Sosialis.
·         Majlis Undangan Negeri Singapura telah meluluskan usul penggabungan itu.
·         Parti Barisan Sosialis menentang penggabungan tersebut. Mereka menganggap pembentukan Malaysia penjajahan bentuk baru. Mereka mencadangkan agar pandangan rakyat diperoleh sebelum Singapura menyertai gabungan itu.
·         Satu referandum telah diadakan.
·         Rakyat Singapura memilih penggabungan diadakan.



(c)    Jelaskan reaksi masyarakat di Brunei terhadap cadangan pembentukan              Malaysia ?
         (Ruj : Sejarah KBSM Tingkatan Empat ms. 141)

·         Sultan Omar Ali Saifudin pada awalnya menyokong gagasan Malaysia.
·         Baginda bersetuju gabungkan Brunei dengan Persekutuan Tanah Melayu.
·         Baginda telah menubuhkan sebuah suruhanjaya bagi meninjau pendapat rakyat.
·         Parti Rakyat Brunei (PRB) menentang gagasan Malaysia.
·         PRB bercita-cita untuk menubuhkan Persekutuan Borneo yang terdiri daripada negeri Sarawak, Sabah dan Brunei.
·         PRB pimpinan A.M. Azhari melancarkan pemberontakan penyertaan Brunei ke dalam Malaysia. Pemberontakan itu dibantu oleh Indonesia dan Filipina.
·         Walau bagaimanapun pemberontakan itu berjaya dipatahkan oleh tentera British.
·         Sultan Brunei telah menarik diri daripada menyertai Malaysia.


(d)    Jelaskan reaksi yang timbul di Sarawak dan Sabah selepas cadangan   pembentukan Malaysia diumumkan.
         (Ruj : Sejarah KBSM Tingkatan Empat ms. 142 - 144)

                Reaksi Penduduk Sarawak
·         Parti Negara Sarawak (PANAS) menyokong penubuhan Malaysia.
·         Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), Barisan Rakyat Jati Sarawak (BERJASA), Parti Pesaka Anak Sarawak (PESAKA) dan Sarawak Chinese Association (SCA) pada peringkat awalnya menentang penyertaan Sarawak ke dalam Malaysia. Mereka mahu mendapatkan kemerdekaan sendiri terlebih dahulu.
·         Bagaimanapun, akhirnya parti-parti ini menyokong penubuhan Malaysia.
·         Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) terus menerus menentang penggabungan itu.
·         PANAS, SNAP, BERJASA, PESAKA dan SCA telah bergabung membentuk Parti Perikatan Sarawak. Mereka menyokong penubuhan Malaysia.
·         Mereka berusaha menyekat pengaruh SUPP yang menentang penyertaan Sarawak.

                Reaksi Penduduk Sabah
·         Pengumuman tentang gagasan Malaysia oleh Tunku Abdul Rahman telah melahirkan parti-parti politik di Sabah.
·         Contohnya Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Bersatu (UNKO), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Kaum Dusun, Parti Pasok Momugun, Parti Bersatu, Parti Demokratik dan sebagainya.
·         Parti-parti ini bergabung membentuk Parti Perikatan Sabah.
·         Parti Perikatan Sabah menyokong penyertaan Sabah ke dalam Malaysia tetapi dengan syarat tertentu.
·         Parti Perikatan Sabah mengemukakan tuntutan 20 syarat kemasukan Sabah ke dalam Malaysia yang dikenali sebagai Perkara 20.
·         Perkara 20 dan dimasukkan dalam Perlembagaan Malaysia.


(e)    Mengapakah kebanyakan parti politik di Sarawak tidak bersetuju dengan             pembentukan Malaysia ?
         (Ruj : Sejarah KBSM Tingkatan Empat ms. 144)

Kebanyakan parti politik di Sarawak tidak bersetuju dengan pembentukan Malaysia KERANA .....
·         Mereka menganggap pembentukan Malaysia adalah penjajahan bentuk baru.
·         Mereka bimbang Sarawak dikuasai oleh Persekutuan Tanah Melayu.
·         Orang bukan Melayu dan Bumiputera Sarawak bimbang akan hilang identiti dan dikuasai oleh orang Melayu.
·         Mereka bimbang sumber ekonomi Sarawak dikuasai oleh kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.
·         Mereka inginkan kemerdekaan sendiri terlebih dahulu


(f)     Apakah yang anda faham tentang Perkara 20 ?
         (Ruj : Sejarah KBSM Tingkatan Empat ms. 144)

·         Perkara Dua Puluh ialah senarai 20 syarat yang dituntut oleh Sabah dan Sarawak untuk diterima masuk ke dalam persekutuan Malaysia.
·         Tuntutan Sarawak dan Sabah itu dikemukakan oleh Jawatankuasa Antara Kerajaan dimasukkan untuk dimasukkan ke dalam Perlembagaan Malaysia yang baru. Tuntutan itu menjadi asas Akta Malaysia.
·         Perkara 20 melindungi hak dan kepentingan penduduk Sarawak dan Sabah. Pembahagian kuasa bagi Sarawak dan Sabah berbeza dengan kuasa negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu. Kuasa yang menjadi hak Sarawak dan Sabah ini dikenali sebagai hak wilayah asingan.


(g)    Apakah bidang kuasa yang diberikan kepada negeri Sarawak dan Sabah              mengikut peruntukan Perkara 20 dalam Perlembagaan Malaysia ?              
         (Ruj : Sejarah KBSM Tingkatan Empat ms. 144)

Bidang kuasa yang diberikan kepada negeri Sarawak dan Sabah      mengikut peruntukan Perkara 20 dalam Perlembagaan Malaysia IALAH .....
·         Kuasa Ketua Negeri.
·         Kuasa menentukan Bahasa Kebangsaan.
·         Kuasa menjaga kedudukan istimewa penduduk asal
·         Kuasa berkaitan hal ehwal imigresen
·         Kuasa member kerakyatan
·         Kuasa menentukan peruntukan kewangan
·         Kuasa berkaitan dengan pelajaran
·         Kuasa yang berkaitan dalam jabatan perkhidmatan awam



(h)    Menjelang akhir tahun 1961, pemimpin serta rakyat Sarawak dan Sabah mula    menyokong pembentukan. Apakah faktor yang menyebabkan berlakunya               perubahan sikap tersebut ?
         (Ruj : Sejarah KBSM Tingkatan Empat ms. 145)

Perubahan sikap itu berlaku DISEBABKAN .....
·         Tuntutan Perkara 20 diterima oleh Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK) untuk dimasukkan ke dalam Perlembagaan Malaysia yang baru.
·         Penjelasan tentang gagasan Malaysia yang dibuat oleh kerajaan British dan Persekutuan Tanah Melayu meyakinkan mereka.
·         Suruhanjaya Cobbold mempertimbangkan pandangan rakyat Sarawak dan Sabah tentang pembentukan Malaysia.
·         Semangat toleransi para pemimpin Tanah Melayu dalam perbincangan dapat memupuk perpaduan dalam kalangan negeri-negeri  yang menyertai Malaysia.
·         Kerjasama pemimpin tempatan Sarawak dan Sabah membentuk gabungan parti politik demi untuk menjayakan pembentukan Malaysia.


(i)      Adakah langkah penduduk Sarawak dan Sabah menyokong pembentukan            Malaysia merupakan suatu tindakan yang wajar ?
         (Ruj : Sejarah KBSM Tingkatan Empat ms. 139 – 140)

Langkah penduduk Sarawak dan Sabah menyokong pembentukan Malaysia merupakan suatu tindakan yang wajar KERANA .....
·         Memperoleh kemerdekaan dengan lebih cepat.
·         Mewujudkan kestabilan politik di wilayah Borneo.
·         Menghalang pengaruh komunis di negeri mereka.
·         Mewujudkan pasaran yang lebih luas.
·         Menggalakkan perkembangan dalam industri pertanian.
·         Dapat memanfaatkan sepenuhnya sumber ekonomi yang ada di negeri itu.


REAKSI LUAR NEGERI

(a)    Jelaskan reaksi Filipina terhadap pembentukan Malaysia.
         (Ruj : Sejarah KBSM Tingkatan Lima ms. 148)
               
·         Filipina menentang pembentukan Malaysia
·         Kerajaan Filipina di bawah pimpinan Presiden Macapagal membuat pengumuman rasmi menuntut hak ke atas Sabah.
·         Mereka mendakwa Sabah adalah sebahagian daripada milik Kesultanan Sulu iaitu sebuah wilayah dalam negara Filipina.
·         Mereka mengemukakan perjanjian antara Sultan Sulu dengan Baron von Overback sebagai asas tuntutan ke atas Sabah.



(b)    Bagaimanakah Malaysia menyelesaikan isu tuntutan hak ke atas Sabah oleh      kerajaan Filipina ?
         (Ruj : Sejarah KBSM Tingkatan Lima ms. 148 dan 254)
               
·         Dalam usaha menyelesaikan isu tuntutan Filipina ke atas Sabah, Malaysia telah mengadakan rundingan dengan negara Filipina dan Indonesia.
·         Rundingan tersebut membawa kepada penubuhan MAPHILINDO (Malaysia, Filipina dan Indonesia).
·         Ketiga-tiga negara ini memohon bantuan PBB untuk mendapatkan pandangan rakyat Sarawak dan Sabah tentang cadangan pembentukan Malaysia.
·         Menjelang tahun 1966, Filipina telah mengiktiraf pembentukan Malaysia.
·         Pengiktirafan itu adalah hasil daripada usaha membaiki hubungan baik antara kedua-dua negara melalui MAPHILINDO.


(c)    Jelaskan reaksi Indonesia terhadap pembentukan Malaysia.
         (Ruj : Sejarah KBSM Tingkatan Lima ms. 146 – 148)

·         Walaupun Indonesia membantah pembentukan Malaysia, tetapi pada peringkat awalnya negara tersebut tidak menunjukkan sebarang reaksi.
·         Penentangan terhadap pembentukan Malaysia bermula pada tahun 1962. Penentangan ini disebabkan Indonesia menganggap pembentukan Malaysia merupakan neokolonialisme.
·         Parti Komunis Indonesia (PKI) pula beranggapan pembentukan Malaysia boleh memberi ancaman kepada negara Indonesia.
·         Pandangan PKI ini mempengaruhi pemikiran Presiden Soekarno.
·         Presiden Soekarno mengisytiharkan Dasar  Konfrontasi terhadap Malaysia.
·         Indonesia telah melancarkan slogan “Ganyang Malaysia” pada 20 Januari 1963.
·         Antara tindakan yang dilakukan oleh Indonesia ke atas Malaysia ialah menyerang kapal nelayan Malaysia, menceroboh ruang udara Malaysia, menyerang Malaysia melalui Johor, Sarawak dan Sabah serta memburukkan Malaysia di negara Afro-Asia dan Negara Dunia Ketiga

(d)     Indonesia mengisytiharkan konfrontasi terhadap Malaysia kerana kecewa dengan           pembentukan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.
          Berikan penjelasan anda.
         (Ruj : Sejarah KBSM Tingkatan Lima ms. 146 – 148)

·         Pembentukan Malaysia boleh memberi ancaman kepada negara Indonesia. Sebagai contohnya, Indonesia menganggap pembentukan Malaysia  adalah penjajahan bentuk baru (neokolonialisme). Hal ini menyebabkan hasrat Indonesia untuk membentuk Indonesia Raya tidak tercapai. Sebagai kesimpulannya, kekecewaan Indonesia dengan pembentukan Malaysia memberikan kesan buruk kepada kedua-dua negara kerana hubungan antara Malaysia dengan Indonesia menjadi tegang. Indonesia mengisytiharkan Konfrontasi ke atas Malaysia.



(e)    Apakah tindakan yang dilakukan oleh Indonesia untuk merealisasikan   slogan Ganyang Malaysia ?
         (Ruj : Sejarah KBSM Tingkatan Lima ms. 146 – 148)

Untuk merealisasikan slogan Ganyang Malaysia, Indonesia BERTINDAK .....
·         Menyerang kapal-kapal nelayan Malaysia.
·         Menceroboh ruang udara Malaysia.
·         Melancarkan serangan darat melalui sempadan Johor, Sarawak dan Sabah.
·         Menghantar pengintip untuk memusnahkan Malaysia secara sulit.
·         Memburukkan Malaysia di negara Afro-Asia dan di Negara Dunia Ketiga.


(f)     Sejauh manakah tindakan yang dilakukan oleh Indonesia melalui slogan               “Ganyang Malaysia” memberikan kesan buruk kepada negara Malaysia ?
         (Ruj : Sejarah KBSM Tingkatan Lima ms. 146 – 148)

·         Tindakan yang dilakukan oleh Indonesia melalui slogan “Ganyang Malaysia” memberikan kesan buruk kepada negara Malaysia. Pihak Indonesia mengganggu nelayan Malaysia di perairan Selat Melaka. Sebagai contohnya, mereka bertindak menyerang kapal-kapal nelayan Malaysia. Mereka juga merampas hasil tangkapan serta merosakkan peralatan menangkap ikan. Hal ini menyebabkan nelayan-nelayan Malaysia di perairan Selat Melaka tidak berani untuk turun ke laut. Sebagai kesimpulannya, tindakan yang dilakukan oleh pihak Indonesia itu amatlah tidak bertanggungjawab kerana tindakan tersebut bukan sahaja menjejaskan mata pencarian nelayan Malaysia, malah ia menyebabkan industri perikanan negara ini terjejas. Negara Malaysia menghadapi krisis bekalan ikan yang tidak mencukupi.


(e)    Jelaskan tindakan yang diambil oleh Malaysia dalam menghadapi penentangan Indonesia selepas pembentukan Malaysia.
         (Ruj : Sejarah KBSM Tingkatan 5 ms. 146 – 147 dan ms 151)

Dalam menghadapi penentangan Indonesia terhadap pembentukan Malaysia, pemimpin negara kita TELAH .....
·         Mengambil sikap berdiam diri terhadap tindakan Indonesia menyerang kapal nelayan dan menceroboh ruang udara Malaysia.
·         Meminta bantuan ketenteraan daripada pertubuhan Komanwel untuk membendung serangan bersenjata oleh tentera Indonesia.
·         Menghantar bantahan rasmi kepada Setiausaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung pencerobohan yang dilakukan oleh Indonesia itu.
·         Mengadakan lawatan ke negara Dunia Ketiga dan negara Afro-Asia untuk memberi penjelasan tentang masalah hubungan antara Malaysia dengan Indonesia.
·         Malaysia membaiki hubungan diplomatik dengan negara Indonesia melalui MAPHILINDO (Malaysia, Filipina dan Indonesia).





NILAI DAN IKTIBAR

(a)    Apakah iktibar yang boleh kita pelajari daripada kejayaan pemimpin negara         menangani Konfrontasi Indonesia – Malaysia ?                                                
         (Ruj : Sejarah KBSM Tingkatan Lima ms. XXX)

·         Kita hendaklah membuat keputusan dengan bijak dalam menangani sesuatu isu agar dapat memulihkan hubungan yang tegang.
·         Jangan cepat mengambil keputusan terburu-buru kerana tindakan tersebut boleh membawa kemudaratan.
·         Kita hendaklah mementingkan persaudaraan serantau agar hubungan baik terjalin secara berterusan.
·         Kita hendaklah sentiasa mementingkan keselamatan rakyat walaupun negara diancam peperangan.
·         Kita hendaklah gigih memberikan penerangan tentang sesuatu isu agar kekeliruan yang timbul dapat difahami dengan jelas.


(b)     Konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia berjaya ditangani melalui kebijaksanaan                           pemimpin negara kita. Buktikan.
         (Ruj : Sejarah KBSM Tingkatan Lima ms. XXX)

·       Konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia berjaya ditangani melalui kebijaksanaan pemimpin negara kita. Malaysia tidak menyerang balas tindakan Indonesia. Pemimpin kita mengambil sikap berdiam diri terhadap tindakan yang dilakukan oleh Indonesia ke atas Malaysia. Sebagai contohnya, Malaysia tidak bertindak balas menyerang kapal nelayan yang mengganggu nelayan kita di perairan Selat Melaka.  Malaysia juga tidak menyerang balas walaupun kapal terbang tentera Indonesia menceroboh ruang udara Malaysia. Hal ini menyebabkan kita dapat mengelakkan ketegangan yang boleh mencetuskan peperangan antara kedua-dua buah negara. Sebagai kesimpulannya, tindakan yang dilakukan oleh pemimpin negara kita sangat bijaksana kerana hubungan baik antara dua buah negara berjiran sentiasa terjalin.  Selepas ketegangan itu reda, kedua-dua buah negara saling bekerjasama dalam bidang ekonomi ke arah memajukan negara masing-masing.

(c)     Ramalkan kemungkinan yang akan berlaku, jika Konfrontasi tidak dapat                                              diselesaikan.
         (Ruj : Sejarah KBSM Tingkatan Lima ms. XXX)

·       Ketegangan hubungan antara Malaysia dengan Indonesia akan berpanjangan.  Sebagai contohnya, hubungan diplomatik antara kedua-dua negara akan terputus.. Hal ini menyebabkan apa sahaja isu yang berkaitan antara kedua-dua negara tidak dapat diselesaikan dengan baik. Kedua-dua negara tidak dapat menggunakan kaedah rundingan untuk menyelesaikan masalah. Sebagai kesimpulannyahubungan yang tegang antara kedua-dua negara memberikan kesan buruk kerana Peperangan mungkin boleh tercetus antara Malaysia dengan Indonesia walaupun atas sebab isu yang remeh. Keadaan politik yang tidak stabil mengundang campur tangan kuasa besar dunia untuk melebarkan pengaruhnya di Asia Tenggara.

4 comments: